#MINAT ~ Bandi Amuk masih aktif menyanyi

Bandi Amuk masih mengekalkan imej bertopeng bagi memastikan identitinya semasa di pentas sentiasa dijaga. 

SUATU ketika dahulu mereka pernah mewarnai dunia hiburan tanah air. Namun masa berlalu, tanggungjawab semakin memberat dengan usia yang semakin meningkat, apatah lagi dengan industri yang tidak cerah selamanya, ada antara mereka yang beralih bidang.

 Begitu pun, bukan mudah untuk menumpulkan minat serta bakat yang sudah lama berpasak di dada.

Ikuti perkembangan dan kehidupan baharu otai seni tanah air kelahiran Johor seperti dilaporkan Sinar Harian.

 WALAUPUN tidak gah seperti satu ketika dahulu, penyanyi yang pernah menggegarkan arena rock tanah air ketika era 80-an hingga 90-an dengan imej bertopeng, Bandi Amuk masih bergiat aktif dalam dunia seni.

 Dikenali menerusi lagu Akar dan Bumi, Bandi, 53, berkata, tiada istilah berhenti atau berputus asa sebagai seorang penghibur.

 Menurutnya, sudah menjadi lumrah ada pasang surut dalam industri seni, namun tidak melemahkan semangatnya untuk sentiasa berusaha dan kekal dalam bidang berkenaan.

 “Saya memang tak pernah berhenti menyanyi, sejak 35 tahun lalu dari mula saya terlibat dalam bidang ini.

Ini sahajalah punca rezeki saya dan alhamdulillah Tuhan permudahkan urusan dan beri segala yang terbaik kepada saya.

 “Boleh dikatakan hampir setiap bulan saya masih terima jemputan untuk buat persembahan tak kira di sini (Johor) atau luar, semuanya saya ikut.

Lagipun, bila dah berusia macam ini saya lebih suka lakukan benda yang saya suka daripada menyeksa diri tetapi kepuasan itu tiada.

 “Persembahan saya juga bukan terhad di Johor sahaja malah serata negara. Kadang-kadang saya pun letih dan tak dapat nak ikut semua,” katanya yang baru selesai melakukan persembahan di Ipoh, Mac lalu.

 Menyingkap sisi bersahaja bapa lima anak ini, wajahnya yang jarang memenuhi muka akhbar atau kaca televisyen tidak melemahkan semangatnya untuk terus berkarya dan menyumbang dalam industri muzik tanah air.

 “Saya dah melalui fasa glamor, biasalah benda seperti ini ada pasang surut tetapi di pihak saya ia langsung tak jadi masalah kerana saya masih ada ruang saya sendiri dalam bidang nyanyian ini.

 “Untuk usia saya sekarang, saya lebih memilih jalan yang mudah asalkan memberi ketenangan kepada saya, duit bukan segalanya yang penting perjuangan seni serta peluang saya menggembirakan peminat masih boleh diteruskan,” katanya.

 Selain daripada menyanyi, Bandi akui dia memang tidak melakukan komitmen lain kerana kekangan masa dan permintaan daripada ramai pihak yang masih memerlukan khidmatnya.

 “Memang saya tak buat benda lain, ini sahaja sumber saya selain terima royalti daripada beberapa lagu yang dihasilkan menerusi Amuk ataupun Febians.

 “Cuma ada sekali dulu saya perlahankan sedikit aktiviti saya kerana mahu beri tumpuan kepada anak saya yang disahkan mempunyai tumor di bahagian paru-parunya,” katanya.

 Pelantun lagu Untukmu Sayang itu kini bukan sekadar menyanyi, tetapi turut menyelitkan unsur kerohanian dan dakwah dalam persembahannya.

 “Saya rasa peluang ini adalah yang terbaik dalam fasa perubahan setiap manusia. Bukan saya nak cakap saya baik tapi ada sesuatu yang menyebabkan saya terfikir untuk berkongsi dengan orang ramai melalui cara ini.

 “Semuanya pinjaman, suara ini pun pinjaman kalau Tuhan nak tarik nikmat saya bila-bila masa boleh.

Tidak salah saya berkongsi pengalaman dengan peminat selain daripada hanya memberi hiburan kosong kepada mereka,” katanya.[SH]

0 Response to "#MINAT ~ Bandi Amuk masih aktif menyanyi"

Post a Comment