Hantu Penanggal Dan Cara Untuk Menghapuskannya

Hantu Penanggal Dan Cara Untuk Menghapuskannya Bahagian 1




Apakah sebenarnya hantu Penanggal? Adakah ianya benar-benar hantu atau sekadar manusia biasa yang mengamalkan ilmu salah dan menjadikan syaitan sebagai sekutunya? Artikel kali ini akan membawa anda untuk mengenali lebih lanjut mengenai siapa sebenarnya hantu Penanggal, cara-cara perlindungan daripada Penanggal tersebut dan juga kaedah untuk menghapuskan atau membunuh Penanggal.

penanggal
Hantu Penanggal merujuk kepada seseorang, biasanya wanita yang menuntut ilmu hitam bagi sesuatu kepentingan seperti bagi membantunya mengekalkan kecantikan diri, membunuh musuhnya, menjaga tanaman dan haiwan peliharaan daripada pencuri dan lain-lain lagi. Mereka yang menuntut ilmu hitam ini mampu menceraikan kepala daripada badan dan kepala mereka mampu terbang dengan tali perut yang terburai-burai. Darah yang menitik dari tali perut mereka dipercayai berbisa dan boleh menyebabkan penyakit kudis kepada mereka yang terkenanya. Ketika Penanggal terbang, ia dipercayai berupa cahaya putih berkilauan, dari urat perut mereka yang terburai itu.
penanggal
Untuk mendedahkan siapa si pengamal ilmu penanggalan ini, semasa Penanggal itu keluar mencari mangsa, tubuhnya yang tiada kepala tu diterbalikkan. Dipercayai sekiranya tubuh mereka dijumpai orang dan diterbalikkan, kepala mereka akan bercantum secara terbalik dan dengan itu rahsia mereka yang mengamalkan ilmu Penanggalan akan terbongkar.
penanggal
Mereka yang menuntut ilmu Penangalan biasanya akan menyimpan setempayan cuka di rumah mereka. Cuka ini berfungsi bagi merendam urat perut Penanggal selepas mereka makan agar kecut sebelum bercantum masuk kembali ke dalam badan asal mereka. Proses pencantuman semula akan lebih mudah dengan isi perut yang telah kecut direndam dalam cuka itu tadi. Justeru, jika diletakkan pokok atau daun berduri seperti daun mengkuang pada mulut tempayan cuka tadi, Penanggal tidak dapat masuk ke dalam tempayan itu kerana ia takut dengan duri dan hanya mampu berlegar-legar di sekitar tempayan itu sampailah penat. Ketika azan subuh berkumandang Penanggal akan terbakar dan mati.
tempayan
Semua benda hidup memerlukan makanan begitu juga halnya dengan Penanggal. Makanan utama penanggal ialah darah. Penanggal dipercayai menggemari darah perempuan yang bersalin, dan sekiranya mereka menghisap darah tersebut, wanita bersalin itu akan mati akibat tumpah darah. Selain darah, uri dan bayi yang masih berada di dalam perut ibunya juga kadang-kadang turut menjadi mangsa santapan penanggal yang kejam. Pada masa dahulu kebanyakan rumah dibina bertiang, oleh itu, biasanya di sekeliling rumah wanita bersalin, diletakkan daun mengkuang yang berduri. Dipercayai penanggalan takut hendak mendekati rumah tersebut kerana bimbangkan tali perutnya tersangkut pada duri tersebut.
mengkuang
Penanggalan bukan sahaja dituntut oleh wanita, malahan lelaki juga tidak kurang hebatnya. Daerah Kota Belud, Sabah amat terkenal dengan balan-balan iaitu penanggal versi lelaki. Bagi pengamal-pengamal ilmu ini mereka akan menjangkitkan ilmu penanggalan kepada keturunan mereka melalui makanan. Ada sesetengah masyarakat mengatakan bahawa penanggalan datang dari orang yang menuntut ilmu hitam, selalunya terdapat di kawasan pendalaman.
Kaedah paling biasa dalam kisah rakyat bagi melindungi dari serangan Penanggal adalah dengan menyelerak daun mengkuang yang memiliki daun berduri yang akan mencederakan atau memerangkap isi perut, jantung, perut dan paru-paru Penanggal yang terdedah ketika ia terbang mencari mangsa. Daun berduri ini akan diikat pada tingkap rumah bagi memastikan ia memerangkap isi perut Penanggal. Ini biasanya dilakukan pada rumah wanita yang baru bersalin.
mengkuang
Walau bagaimanapun, cara ini tidak akan membantu bayi sekiranya Penanggal memasuki rumah melalui lantai papan. Disebabkan rumah tradisi Melayu yang bertiang, dikatakan beberapa bulan sebelum kelahiran, kaum keluarga wanita hamil akan menanam nenas di bawah rumah. Buah dan daun nenas yang berduri akan menghalang hantu penanggalan dari memasuki bawah rumah. Apabila terperangkap, Penanggal yang menyerang kemudian boleh dibunuh dengan menggunakan senjata tajam seperti parang. Sebagai perlindungan tambahan, wanita mengandung akan meletakkan gunting atau kacip pinang di bawah bantal, kerana Penanggal dikatakan takut pada benda-benda tajam sebegini.
Bersambung ke Bahagian 2. Nantikan sambungannya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Hantu Penanggal dan cara-cara untuk menghapuskannya.

Sumber: http://ift.tt/2pc4V5O

0 Response to "Hantu Penanggal Dan Cara Untuk Menghapuskannya"

Post a Comment