Benarkah Anak Istimewa Itu Satu Anugerah Dan Tidak Semua Orang Terpilih Untuk Diduga Sebegitu? Atau Sekadar Untuk Memujuk Hati Yang Lara?

Saya berkesempatan mendidik anak-anak istimewa untuk beberapa bulan. Dalam tempoh itu, saya mula menambah bahan bacaan dan perbualan dengan individu yang berada dalam bidang ini bagi memahami diri mereka.
Benarkah Anak Istimewa Itu Satu Anugerah Dan Tidak Semua Orang Terpilih Untuk Diduga Sebegitu? Atau Sekadar Untuk Memujuk Hati Yang Lara?
Gambar Sekadar Hiasan

Ia tidak lama tapi setiap saat yang saya lalui bersama anak-anak ini, saya jadikan sebagai ruang untuk ilmu yang baru dan didikan kepada hati.

Pernah juga ada ibu bapa yang meluahkan isi hati mereka kepada saya. Ayat yang seringkali didengari dari insan lain di sekeliling mereka yang kononnya untuk melembutkan hati adalah “tak semua ibu bapa dipilih Allah untuk memiliki anak istimewa”, dan “banyak pahala membesarkan anak-anak istimewa”.

Namun, hanya yang memikul amanah itu yang memahami keadaannya. Saya akui membesarkan atau mendidik anak-anak istimewa memerlukan kesabaran yang tinggi. Apa lagi apabila berada dalam kumpulan masyarakat yang suka menghukum dan kurang ilmu berkaitan anak-anak istimewa.


Bayangkan anak-anak anda digelar sebagai degil, jahat, pemalas, dan pelbagai lagi label negatif dek kerana kurangnya ilmu masyarakat di sekeliling anda. Sudah tentulah ia menambah lagi ujian di hati.
Berikut adalah beberapa perkara mengapa memiliki mereka sememangnya merupakan satu anugerah:

#1 – Pengetahuan Bertambah

Siapa yang tidak timbul walau sedikit rasa sedih dan bimbang apabila mengetahui anak yang dilahirkan memerlukan perhatian yang sedikit berbeza daripada kanak-kanak lain.

Pada masa ini, mulalah difikirkan tentang bagaimana mahu mendidiknya? Adakah pemakanannya perlu dijaga lebih daripada yang lain? Bagaimana masa depannya?

Maka anda cuba mendapatkan sekolah yang menyediakan pembelajaran khas sesuai bagi mereka. Mungkin juga anda perlukan pakar terapi untuk anak anda. Guru-guru dan pakar ini akan membantu anda serta memberi nasihat terbaik dalam menjaga mereka.

Kata orang, menjadi ibu bapa itu meletihkan. Apa lagi menjadi ibu bapa kepada anak-anak yang memerlukan lebih keperluan. Ia bermaksud hari anda akan lebih meletihkan tetapi anda tetap meneruskan tanggungjawab anda. Semua ini menjadikan anda kuat semangat dan memahami mereka yang senasib dengan anda.

#2 – Menjadi Ibu Bapa Yang Kental Dan Tabah

Melalui semua ini memerlukan kekuatan. Maka, tiada yang lebih layak memberi anda kekuatan itu melainkan Allah SWT. Apabila anda melakukan kesilapan, anda tahu bahawa anda manusia biasa. Anda maafkan diri anda dan teruskan hari anda.

Setiap hari, anda berjaya melalui situasi yang difikirkan mustahil bagi ibu bapa yang lain. Anda bukan calang-calang ibu bapa.

Doa yang anda selalu minta kepada Allah SWT adalah agar diberikan kesabaran dan kemudahan dalam membesarkan anak-anak. Ini menjadikan pergantungan anda amat teguh kepada Allah. Semoga anda sentiasa dalam redha Allah.

#3 – Lakukan Aktiviti Untuk ‘Release Stress’

Adakalanya kesabaran teruji juga. Hampir-hampir berputus asa. Anda rehat seketika. Anda masih ada hobi dan anda melakukannya dengan bersungguh-sungguh kerana hobi membantu anda mendapatkan kecergasan semula.

Suami atau isteri serta seluruh keluarga pula bersama-sama dengan anda untuk melalui hari-hari anda. Ada lebih banyak komunikasi, perbincangan, dan mencari jalan penyelesaian dilakukan bersama-sama. Oleh itu, hubungan kekeluargaan bertambah erat dan anda lebih menghargai masa yang ada.

#4 – Kumpulan Sokongan (Support Group)

Untuk mengurangkan beban di hati, anda mendapatkan kumpulan ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa. Anda mendapati ada ramai ibu bapa di luar sana melalui pengalaman yang serupa dengan anda. Mereka merupakan ibu bapa yang turut sama menghantar anak mereka di sekolah khas serta pakar di hospital.

Perasaan kebersamaan akan mengurangkan rasa gundah di hati. Anda boleh meminta pandangan dan belajar dari pengalaman mereka dalam membesarkan anak-anak anda. Anda kini mempunyai ilmu dalam mendidik anak-anak sama ada yang memerlukan keperluan khas atau tidak.

#5 – Setiap Anak Boleh Menjadi Hebat!

Setiap anak mempunyai kelebihan atau keistimewaan masing-masing. Anda tidak menganggap kekurangan anak-anak sebagai penghalang untuk mereka menjadi manusia hebat. Anda tahu jika anda asyik menumpukan kepada kekurangan, maka anda tidak akan sedar adanya kelebihan dalam diri mereka.

Sebab itulah anda mengenal pasti kelebihan anak anda dan berusaha mengasah bakat yang mereka ada. Pada masa yang sama, anda mengelak daripada membuat perbandingan antara anak anda dengan kanak-kanak yang lain. Anda tahu apa yang terbaik dan sesuai untuk anak anda dan ia tidak semestinya sama dengan orang lain.

Apabila anda merasakan ini suatu ujian yang berat, anda ingat yang Allah memberikan banyak kebaikan kepada mereka yang bersabar dengan ujianNya. Setiap orang melalui ujian yang berbeza dan anda dipilih untuk melalui ini. Semua ini untuk membuka pintu kebaikan dan mencantikkan amalan. Ia dijelaskan di dalam Al-Quran dan hadis. Antaranya;

Firman Allah SWT dalam surah al-Mulk, ayat 2 (maksudnya):
“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda (maksud):
“Siapa yang Allah kehendaki kepadanya kebaikan, nescaya Allah akan mengujinya.” (Riwayat al-Bukhari)
loading...

0 Response to "Benarkah Anak Istimewa Itu Satu Anugerah Dan Tidak Semua Orang Terpilih Untuk Diduga Sebegitu? Atau Sekadar Untuk Memujuk Hati Yang Lara?"

Post a Comment