(Dari Kisah Rumah Tangga – KRT)
Assalamualaikum.
Peritnya bermadu. Aku tahu ramai yang akan serang aku apabila berkongsi kisah ini. Tapi aku akan kongsikan juga apa yang tersimpan dalam hati ini disebabkan tiada siapa lagi tempat untuk aku luahkan perasaan.
Untuk makluman pembaca, aku merupakan isteri kedua suami. Sebelum itu aku ceritakan terlebih dahulu bagaimana aku menjadi madu kepada isteri pertama suami.
Suami aku bolehlah dikatakan daripada keluarga orang berada dan juga seorang yang berpengaruh kerana terlibat dalam politik. Sebelum aku dijadikan isteri kedua, aku merupakan setiausaha pejabat di syarikat suami. Atas sebab tugas-tugasku yang perlu mengatur janji temu suami dan sering mengikuti suami kemana-kemaa atas urusan kerja, lama kelamaan hubungan kami berdua semakin rapat.
Akhirnya pada awal tahun lalu, suami mengambil keputusan untuk melamar aku menjadi isteri. Aku tahu suami sudahpun mempunyai isteri dan anak seramai dua orang, namun memikirkan mengenai masa hadapanku dengan keadaan ekonomi yang mendesak ketika ini, aku pun bersetuju dengan lamaran suami. Kami berkahwin di selatan Thailand kerana kata suami dia belum bersedia memberitahu isteri pertama.
Pada mulanya aku bersyukur dan bahagia mempunyai suami seperti dia kerana semua perbelanjaan aku seperti makan minum baju kereta dan rumah disediakan. Namun, menjelang anniversary kami yang pertama, suami belum lagi mendedahkan mengenai perkahwinan kami kepada keluarga mertua dan isteri pertamanya. Lama kelamaan aku merasa seolah-olah menjadi perempuan simpanan suami kerana terpaksa menyembunyikan perkara ini.
Aku juga kini sudah tidak bekerja di syarikat suami kerana takut hubungan kami bocor dikalangan rakan-rakan pejabat lain.
Sudah beberapa kali aku mendesak suami, namun jawapannya tetap sama. “Sabar sayang, sampai masa nanti abang akan bawa sayang jumpa keluarga abang”. Tapi sampai bila aku dapat bertahan hidup dalam persembunyian sedangkan hubungan kami ini halal?
Aku sering memikirkan tentang masa hadapan… Saat aku menulis kisah ini, aku tengah pregnant 2 bulan. Sekiranya anak aku lahir nanti, takkanlah keluarga mertua aku tak tahu? Bagaimana pula sekiranya anak aku sudah besar? hari raya? balik kampung suami? sepupu sepapat anak sebelah suami? takkan lah semua itu juga perlu disembunyikan. Bermacam-macam soalan muncul di fikiran aku ketika ini.
Namun, inilah jalan kehidupan yang aku pilih… Aku berkongsi cerita ini kerana merasa sedikit sesalan menjadi isteri kepada suami orang. Memang kebahagian harta benda tidak menjadi masalah dalam hidup aku tapi aku kini sedar kebahagian sebenar adalah perkahwinan tunggal dimana perkahwinan antara seorang isteri dan seorang suami sahaja. Aku berharap kepada sesiapa yang memilih jalan untuk bermadu, fikirkanlah tentang kehidupan anda pada masa hadapan.
– Aneem
The post “Aku merasa seolah-olah menjadi perempuan simpanan suami” appeared first on The Alternatif.
from The Alternatif http://ift.tt/2oEwvaE
0 Response to "“Aku merasa seolah-olah menjadi perempuan simpanan suami”"
Post a Comment