Ernie Zakri
Kerjayanya dalam arena seni suara bermula lebih tujuh tahun lalu selepas menjuarai Bintang RTM 2009.
Sejak itulah, dia mula mengatur langkah mencari tapak kukuh dalam industri ini.
Dua tahun selepas kemenangan itu, Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri, melancarkan album sulung berjudul Sinaran.
Namun entah di mana silapnya, skala seninya dalam ruang lingkup hiburan Malaysia tidak begitu menjadi.
Meski kemampuan vokalnya sudah pun diakui, bintang gadis genit ini kurang bersinar seperti teman artis seangkatan. Lebih tujuh tahun bersabar, akhirnya bintangnya kembali bergemerlapan apabila Ernie sekali lagi berjaya merangkul gelaran juara Duo Star bersama rakan duet, Syamel Februari lalu.
Kemenangan itu menjadi momen manis buat anak jati Kuala Lumpur ini apabila kehadirannya kian diterima ramai dan singlenya, Jangan Marah juga kian rancak di radio.
Pada masa sama, single duet bersama Syamel, Aku Cinta turut mendapat perhatian peminat.
Tunggu tujuh tahun untuk dikenali
Gembira dengan perjalanan seninya ketika ini, bintang berusia 25 tahun itu mengakui, penantiannya dikira berbaloi.
Bukan mengharapkan diri dilimpahi glamor semata-mata, tetapi sekurang-kurangnya, Ernie mahu kehadirannya tidak dipandang sepi.
Dia bersyukur kerana perjalanan seninya kian ke depan sejak menjadi juara dalam Duo Star.
“Bohonglah kalau saya tak pernah putus asa. Macam-macam lagu sudah dikeluarkan, tapi resultnya hampir sama saja," kata Ernie memula bicara bersama Media Hiburan ketika sesi rakaman Muzik-Muzik Raya di Hotel Marriot, Putrajaya, baru-baru ini.
Ernie bertuah kerana keluarganya memberi sokongan dan kekuatan supaya dia terus ‘bernafas’ dalam seni selain semangat dirinya yang tidak pernah pudar mencabar diri untuk melihat sejauh mana dia boleh pergi dalam seni.
“Bukan nak kejar populariti, tapi saya gembira sebab perubahan ini sekurang-kurangnya memberi lebih semangat untuk terus menghasilkan yang terbaik," katanya.
Sejak itu, kata Ernie, dia tidak mahu pandang ke belakang sebaliknya hanya fokus ke depan.
Ramadan penuh makna
Sempena bulan penuh berkat ini, Ernie turut mengambil peluang mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia, khasnya buat peminat yang tidak pernah jemu memberi sokongan.
“Ramadan tahun ini lebih berbeza kerana selain sibuk dengan komitmen seni, saya juga tak lepas peluang mencari keberkatan," katanya yang tidak pernah putus dengan undangan majlis berbuka puasa.
Ditanya mengenai perkembangan terbarunya, Ernie yang turut menjadi guru vokal kepada beberapa penyanyi tempatan ini juga akan mengeluarkan single terkininya tidak lama lagi.
Tidak mahu tergopoh-gopoh melancarkan lagu baru, Ernie selesa mencari lagu yang benar-benar kuat kerana mahu lebih versatile dan sentiasa diingati peminat.
“Biar lambat pun tak apa, asalkan lagu yang saya dapat itu memuaskan hati peminat. Insya-ALLAH, mungkin lepas raya nanti, saya akan rakam lagu baru. “Lagu Aku Cinta bersama Syamel pun masih lagi dalam promosi. Jadi, selain mencari material baru untuk single, kami juga gigih promosikan lagu tersebut,” jelas Ernie yang turut mempunyai lagu raya bersama rakan artis FMC Music berjudul Lebaran Terindah.
Dayang Nurfaizah jadi inspirasi
Tidak mahu dihambat kecewa lagi, Ernie menjadikan Dayang Nurfaizah antara inspirasinya dalam seni.
Kata Ernie, penyanyi berkulit hitam manis itu punya prinsip yang teguh terhadap hala tuju muzik yang dibawanya.
“Datanglah lagu apa saja, Dayang tetap selesa muziknya. Tetap setia dengan genre R&B. Jadi kalau boleh, saya juga mahu jadi sepertinya.
Bukan tak mahu nyanyi lagu genre lain, tapi bagi saya balada tu banyak cabang. “Yang penting, biarlah lagu-lagu yang saya bawa ada elemen kemelayuan dan mesra pendengar.
Soal kekuatan juga amat saya titik beratkan.
Soal prinsip itu, Insya-ALLAH buat masa sekarang saya selesa dengan lagu seperti sebelum ini,” katanya.
Ernie memberitahu, dia turut menyimpan impian untuk berlakon suatu hari nanti tetapi mahu kukuh dalam bidang nyanyian terlebih dulu. "
Tapi saya boleh cuba kalau ada peluang, Insya-ALLAH,” akhiri Ernie yang turut menyokong program program kerohanian, Malaysia #QuranHour yang bakal dilangsungkan pada 24 Ramadan ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
Ujar Ernie, program seumpama itu menjadi antara alternatif terbaik umat Islam seluruh Malaysia untuk bersatu dengan membaca seterusnya memahami maksud yang terkandung dalam ayat-ayat suci al-Quran.[SH]
0 Response to "#KEMBALI SEMULA ~ Kerdipan bintang Ernie Zakri"
Post a Comment